SELANGOR

MB umum bantuan RM500 kepada mangsa ribut

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJUNG KARANG, 13 FEB: Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan segera RM500 kepada semua mangsa kejadian ribut, di Kampung Sawah Sempadan dan Kampung Tiram Jaya, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan itu akan diberikan dalam tempoh seminggu membabitkan 165 buah rumah.

Katanya, Kerajaan Negeri akan turut memberi bantuan baik pulih rumah ekoran ada antara rumah penduduk kampung mengalami kerosakan teruk sehingga kediaman sedia ada tidak lagi boleh didiami.

“Oleh itu, kerja baik pulih rumah ini akan ditanggung sepenuhnya Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan rumah yang mengalami kerosakan kritikal pula melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Difahamkan agensi terbabit dan pusat khidmat juga sudah menyusun senarai nama mangsa serta kerja gotong-royong bagi membaik pulih rumah juga sedang dilakukan,” katanya ketika mengadakan lawatan ke lokasi ribut di sini, hari ini.

Turut sama, Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin dan Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azman Dahlan.

Selepas sesi taklimat di Dewan Tiram Jaya, Amirudin turut dibawa ke beberapa buah rumah yang mengalami kerosakan teruk serta pusat pemindahan mangsa di Surau Darul Maarif.

 


Pengarang :