SELANGOR

MB yakin Semenyih kekal milik PAKATAN

OLEH NORHAYATI UMOR

KAJANG, 16 FEB: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih akan kekal menjadi milik Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya, calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Muhammad Aiman Zainali merupakan seorang pemuda berkaliber dan disenangi penduduk setempat.

“Saya menyatakan sokongan penuh dan mempunyai keyakinan saudara Aiman akan berjaya mengekalkan kerusi N24 Semenyih di bawah PAKATAN.

“Beliau merupakan seorang anak muda yang berkaliber dan disenangi masyarakat tempatan. Kepimpinan PAKATAN mencalonkan anak muda yang berwawasan,” katanya.

Terdahulu, beliau berkesempatan hadir ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, di sini.

Pada masa sama, Amirudin turut mengajak penduduk Semenyih supaya memberi sokongan dan kerjasama kepada Muhammad Aiman.

Untuk rekod, seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

 


Pengarang :