BERITA UTAMASELANGOR

MBI salur RM1.6 juta buat mangsa ribut Tanjong Karang

OLEH NADIAH ZAMLUS

TANJONG KARANG, 20 FEB: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) menyalurkan kira-kira RM1.6 juta buat kesemua 183 mangsa ribut, di sini.

Jumlah itu merangkumi sumbangan baik pulih kerosakan rumah, iaitu RM500 bagi kerosakan kecil, RM5,000 kerosakan sederhana, RM20,000 kerosakan serius dan RM50,000 bantuan untuk pembinaan semula.

Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan RM500 buat mangsa.

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut berbesar hati memperuntukkan RM300 seorang bagi setiap keluarga.

“MBI akan membina semula 14 rumah penduduk yang musnah teruk, sementara LZS pula akan membantu sepenuhnya 19 keluarga yang berstatus asnaf di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sumbangan Bantuan Mangsa Ribut, di Dewan Seri Tiram, Tanjong Karang, semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin; Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin; Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azman Dahlan dan Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Agihan Daerah LZS, Huzairi Ibrahim.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya perlu memastikan wang sumbangan yang diagihkan sampai kepada golongan disasarkan tanpa berlaku keciciran.

“Wang peruntukkan lambat kerana pada awalnya kita menerima hanya 163 keluarga, namun kemudian ia bertambah kepada 171 keluarga dan setelah itu kita meminta ketua kampung membuat siasatan kerosakan dan sebagainya sehinggalah dapat dipastikan ada 183 mangsa.

“Kejadian sebegini pertama kali berlaku dengan membabitkan jumlah mangsa agak ramai, oleh itu saya minta semuanya bersabar dan semoga kerja baik pulih berjalan lancar,” katanya.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan dua kampung di Tanjong Karang ditimpa bencana ribut terburuk dalam tempoh 20 tahun.

Dua kampung itu termasuk Kampung Tiram Jaya dan Kampung Sawah Sempadan, yang turut mengakibatkan puluhan rumah penduduk mengalami kerosakan teruk.

Kejadian pada 10 Februari itu turut mengejutkan penduduk kerana cuaca pada hari berkenaan cerah dan tidak menunjukkan sebarang malapetaka akan menimpa pada waktu petang, hari yang sama.


Pengarang :