SELANGOR

MBSA antara lokasi terbaik pilihan pelabur

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipilih antara tiga lokasi terbaik pilihan pelabur kategori Pihak Berkuasa Tempatan Selangor 2017-2018 dalam Anugerah ‘Selangor Investors Appreciation Awards 2018’ di Hotel Sheraton Petaling Jaya, di sini, pada 29 Januari lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, anugerah itu satu pengiktirafan membanggakan kerana ia menunjukkan Shah Alam masih lokasi pilihan pelabur dalam mahupun luar negara.

“Penganugerahan ini diberikan berdasarkan projek perkilangan yang sudah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) untuk 2017-2018.

“Melalui pengikitirafan ini, kami berharap ia dapat memberikan imej positif dan menarik lebih banyak pelabur yang berpotensi serta pihak berkepentingan (stakeholders) untuk melabur di Shah Alam,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyampaikan anugerah itu kepada Timbalan Dato’ Bandar MBSA, Mohd Rashidi Ruslan.

Majlis anjuran Invest Selangor Berhad dengan kerjasama Kelab Rekreasi Invest Selangor (KRIS) itu membabitkan agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pelabur dalam dan luar negara.

Majlis yang diadakan setiap dua tahun sekali itu bertujuan menghargai syarikat, agensi kerajaan, PBT dan pelabur atas sokongan mereka serta pencapaian cemerlang dalam memacu ekonomi Selangor juga Malaysia.


Pengarang :