SELANGOR

MBSA juara tarik tali tertutup Selangor 2019

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 FEB: Pasukan Tarik Tali Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya merangkul juara dan tempat ketiga pada Kejohanan Tarik Tali Tertutup Selangor 2019 Parlimen Kapar yang diadakan di Padang Awam Batu 8, Bukit Kapar, semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, sebanyak 10 pasukan bertanding dalam kejohanan terbabit.

“Pasukan MBSA A berjaya mara ke pusingan separuh akhir dengan menewaskan MBSA B.

“Pada perlawanan akhir, MBSA A berjaya menewaskan JD Putra manakala Penjara Sungai Buloh tewas kepada pasukan MBSA B pada pusingan penentu tempat ketiga dan keempat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, MBSA A membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 beserta medal manakala MBSA B pula memperoleh wang tunai RM1,000 serta medal.

“Kejayaan ini adalah satu pencapaian memberangsangkan sekali gus dapat meningkatkan imej majlis di mata masyarakat.

“MBSA menggalakkan kakitangan pelbagai peringkat jawatan untuk terbabit secara langsung dalam aktiviti sukan seperti ini kerana ia dapat melahirkan kakitangan cergas, sihat dan berdisiplin,” katanya.

Terdahulu, pasukan Tarik Tali MBSA pernah menjuarai beberapa kejohanan lain antaranya Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Majlis Bandaraya Sungai Petani, Majlis Bandaraya Jasin dan Majlis Bandaraya Teluk Intan.


Pengarang :