PBTSELANGOR

MDKL bakal tukar status perbandaran tahun ini

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 28 FEB : Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) bakal dinaikkan kepada status perbandaran, pada tahun ini.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) sedang membuat kertas kerja sebelum dihantar ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk kelulusan.

“Kita juga sedang berusaha mendapatkan kelulusan daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri supaya proses naik taraf status dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MDKL Bil 2/2019, di Bilik Mesyuarat Cempaka Kuning, di sini, hari ini.

Katanya, apabila proses itu selesai, pihaknya akan mengumumkan penukarannya kepada umum.

Pada masa sama, pihaknya komited merancang untuk memperbaiki infrastruktur dan mempelbagaikan lagi kemudahan di daerah berkenaan setaraf status perbandaran.

“Kita akan berusaha membaik pulih segala kemudahan seperti jalan raya, lampu serta mengekalkan kawasan rekreasi dan tumpuan pelancong untuk menjadi lebih baik,” katanya.


Pengarang :