PBTSELANGOR

MDKL mohon peniaga premis makanan patuh syarat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 28 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menggesa peniaga di premis makanan, di kawasan terbabit mematuhi syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, ia ekoran terdapat ramai peniaga mengambil sikap sambil lewa dan tidak mematuhi syarat ditetapkan terutama berkaitan permohonan lesen dan penjagaan kebersihan.

“Semalam kita sudah pergi ke premis makanan tepi jalan, kebanyakan mereka membiarkan sampah merata-rata dan tidak diuruskan sebaiknya, walhal kita sudah melonggarkan syarat dengan memberikan lesen sementara untuk berniaga.

“Apabila kita sudah melonggarkan syarat, tidak salah rasanya untuk mereka patuh pada arahan yang sudah ditetapkan seperti mengambil suntikan typhoid dan urus smapah sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MDKL Bil 2/2019, di Bilik Cempaka Kuning, di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan peniaga supaya berterusan mematuhi syarat ditetapkan, bukan hanya apabila PBT melaksanakan operasi sahaja.

“Saya juga mencadangkan pemilik premis hadir ke PBT untuk berbincang dan menyemak syarat disediakan bagi mengelakkan mereka daripada dikompaun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga komited menyemak premis perniagaan milik warga asing yang tidak mempunyai lesen bagi membendung daerah itu daripada terus dikuasai golongan terbabit.


Pengarang :