PBTSELANGOR

MDKL sasar Tahun Melawat Kuala Langat 2021

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 28 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menyasarkan daerah itu dijadikan sebagai Tahun Melawat Kuala Langat, pada 2021.

Justeru, Yang Dipertuanya, Mohamad Zain A Hamid berkata, pihaknya terus komited memperhebatkan program di daerah terbabit, sebagai langkah menarik lebih ramai pelancong ke daerah berkenaan.

“Kita bercadang mahu menghidupkan semula Pesta Morib di Pantai Morib dengan pelbagai aktiviti selama empat hari, pada September ini.

“Kita optimis menganjurkan pesta itu memandangkan ia sudah terlalu lama tidak dianjurkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MDKL Bil 2/2019, di Bilik Mesyuarat Cempaka Kuning, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, MDKL optimis kegemilangan Pesta Morib dapat dikembalikan dan mampu menarik lebih ramai pengunjung ke situ.

“Jika sambutan terhadap Pesta Morib memberangsangkan, kita bercadang mahu menjadikan Tahun Melawat Kuala Langat pada 2021,” katanya.

Pesta Morib sinonim dalam kalangan pengunjung suatu ketika dahulu yang menyajikan pertandingan Morib Fun Run, pertunjukan wau, pertandingan gusti lengan, Battle Of The Band dan banyak lagi.


Pengarang :