NASIONAL

Menteri naik bas lebih 1000km periksa jalan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SEMENYIH, 27 FEB: Kementerian Kerja Raya mengambil inisiatif menaiki bas mengelilingi negeri pantai timur, bagi memeriksa jalan persekutuan di kawasan itu, baru-baru ini.

Timbalan Menterinya, Anuar Tahir berkata, walaupun kesemua negeri terbabit bukan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN), namun rakyat negeri itu berhak memiliki jalan yang baik.

“Kami naik bas keliling pantai timur, dari Pahang terus ke Terengganu dan kemudian ke Kelantan demi memeriksa jalan persekutuan di sana.

“Mana ada dalam dunia ini, baik di Kanada, Amerika Syarikat atau England sekali pun, menteri dan timbalan menteri naik bas lebih 1000 kilometer, semata-mata untuk periksa jalan.

“Barisan Nasional tak pandai buat kerja begini, kita bukan periksa naik helikopter tetapi naik bas,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Agenda Aiman4Semenyih, di Pangsapuri Bandar Rinching, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, katanya, kementerian itu akan turut memeriksa jalan persekutan di negeri lain juga.

“Ini komitmen kita, kita akan terus bekerja memulihkan negara daripada kerosakan yang dilakukan BN,” katanya.


Pengarang :