Group of coworkers working together
EKONOMINASIONAL

Millennial dijangka mendominasi tenaga kerja menjelang 2025

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Dijangkakan 75 peratus tenaga kerja global terdiri daripada golongan millennial menjelang 2025, kata Pengerusi Eksekutif Qi Group, Datuk Seri Vijay Eswaran.

Katanya, lebih separuh daripada pekerjaan hari ini akan menjadi lapuk akibat kemajuan teknologi dan automasi.

Beliau berkata, kebanyakan millennial tidak mahu waktu bekerja 9 pagi hingga 5 petang.

“Mereka mahu bertanggungjawab terhadap kehidupan mereka sendiri dan mahu melalui pengalaman sendiri, berjalan dan meneroka, dan dapat memperoleh pendapatan antara pengalaman tersebut,” katanya pada Forum Ekonomi Sedunia di Davos, Switzerland.

Vijay berkata, kategori ini (millennial) sangat bersesuaian dengan kedudukan ekonomi, yang merujuk kepada sistem pasaran bebas, mewujudkan kedudukan sementara untuk pekerja bebas untuk jangka pendek.

“Jika anda perasan, semasa sedang membesar, membeli rumah atau kereta merupakan impian besar. Matlamat tersebut tidak lagi bernilai tinggi kepada kumpulan ini.

“Berikutan perubahan demografi, kerja pada masa depan sudah berubah. Ramai millennial tidak lagi berminat atau akur pada konsep pekerjaan yang selamat dan kekal,” katanya.

Istilah millennial atau generasi Y, membabitkan individu yang mencapai usia dewasa sekitar abad ke-21.

– BERNAMA

 


Pengarang :