NASIONAL

MIROS: Pengeluar motosikal disaran tumpu aspek reka bentuk

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Syarikat pengeluar motosikal digesa supaya lebih menitikberatkan aspek reka bentuk sesebuah motosikal terutama bagi model enjin berkapasiti kecil (kapchai) bagi menjamin keselamatan penggunanya di jalan raya.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Suret Singh berkata, pengeluar motosikal tidak seharusnya terlalu ghairah menghasilkan rekaan motosikal yang menumpukan kepada ciri-ciri kepantasan semata-mata.

“Sudah masanya pengeluar memberi penekanan kepada rekaan motosikal yang lebih ‘solid’ untuk digunakan di samping ciri-ciri keselamatan dan teknologi yang sentiasa dipertingkatkan memandangkan statistik merekodkan lebih 4,000 penunggang kapchai maut setiap tahun.

“Tambahan pula 92 peratus daripada 15 juta motosikal berdaftar dan berlesan di negara ini terdiri daripada pengguna motosikal ‘kapcai’ iaitu di enjin di bawah 150 cc di mana rata-rata adalah golongan B40,” katanya lapor BERNAMA.

Suret berkata, MIROS menjalankan pelbagai kajian terperinci berkenaan aspek keselamatan penunggang motosikal dan hasilnya akan disampaikan kepada pihak berkepentingan dalam usaha mencari penyelesaian masalah membabitkan golongan berkenaan.

“Kita perlu persetujuan dan sokongan daripada semua agensi termasuk kerajaan. Kami juga bercadang kumpulan Safety First dilibatkan bersama dengan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) di peringkat negeri,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :