PBTSELANGOR

MPS catat 561 kes denggi

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 2 FEB: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan kes denggi sebanyak 561 kes daripada November tahun lalu hingga Januari ini.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, bagaimanapun kes berkenaan di 76 lokaliti itu masih terkawal.

“Sebanyak 15 lokaliti ‘hotspot’ wabak denggi dalam tempoh lebih 60 hari disenaraikan masing-masing di daerah Sungai Tua (Kampung Sungai Tua Bharu, Apartment Laksamana), Gombak Setia (Flat Pinggiran Batu dan Kampung Changkat 23).

“Selain itu, Taman Sahabat, Kampung Simpang 3, Jalan Dewan, Taman Sri Gombak Pasar), Paya Jaras (Kampung Sri Indah A, Kampung Melayu Sungai Buloh, Kampung Matang Pagar, Apartment Impian Indah) dan Kuang (Rawang),” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Zin berkata, sebanyak tiga lokaliti wabak tidak terkawal direkodkan iaitu di daerah Templer ( Kuaters IPD Gombak Zon A dan Selayang Baru Zon 16 ) dan Sungai Tua (Apartment Seri Gohtong).

Katanya, faktor penularan wabak denggi itu ekoran cuaca tidak menentu serta peningkatan pergerakan orang awam.

“Bagi langkah pencegahan, MPS menyeru orang ramai terutamanya bagi mereka yang berada di lokasi ‘hotspot’ wabak denggi untuk mengambil pendekatan misalnya semburan aerosol bagi membunuh nyamuk Aedes di kawasan rumah.

“Penduduk juga disaran meletakkan ubat jentik-jentik (Abate) ke dalam bekas takungan air di sekitar rumah dan memakai krim perlindungan nyamuk,” katanya.

Beliau berkata, MPS akan menggerakkan aktiviti gotong-royong membabitkan kerjasama bersepadu dengan Ahli Majlis, agensi yang berkaitan dan juga orang awam bagi membendung peningkatan kes denggi.

 


Pengarang :