SELANGOR

MPS roboh pusat cuci kereta warga asing

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUANG, 21 FEB: Padah beroperasi secara haram, sebuah pusat cuci kereta diusahakan warga asing dirobohkan dalam operasi yang dijalankan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di Tasik Biru Kundang, di sini, hari ini.

Penolong Pegawai Penguatkuasanya, Megat Ainul Fadzlil Ainul Fadzil berkata, pengusaha terbabit bukan sahaja menjalankan aktiviti tanpa lesen sah, malahan turut mengalirkan air cucian terus ke kawasan semak sehingga menyebabkan air bertakung dan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Katanya, pengusaha berkenaan tidak mempunyai meter elektrik, manakala bekalan air tidak dapat dikenalpasti daripada sumber mana.

“Kompaun dikeluarkan kepada premis berkenaan di bawah Seksyen 46 (1) a, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (mendirikan tiang/struktur di tempat awam) dan Undang-Undang Kecil 3 Tred Perniagaan dan Industri (MPS) 2007.

“Kita juga sudah mengambil tindakan kompaun terhadap premis dan sitaan lima kali termasuk dua kali pada tahun ini.

“Bagaimanapun, tindakan itu tidak mampu menghalang pengusaha premis untuk tetap meneruskan operasi sehingga memaksa tindakan lebih tegas diambil,” katanya selepas operasi terbabit.

Seramai 18 penguatkuasa MPS, tujuh anggota Polis Diraja Malaysia , tiga pegawai Syarikat Bekalan Air Selangor dan dua pegawai Tenaga Nasional Berhad turut serta dalam operasi berkenaan.

Dalam operasi itu, beberapa peralatan cuci kereta bernilai RM2,000 turut disita.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis pengosongan terhadap premis yang beroperasi tiga tahun lalu di atas tanah persendirian itu sejak dua minggu lalu sebelum operasi dijalankan hari ini.

Katanya, sebelum ini terdapat permohonan permit dibuat untuk mengendalikan pusat cuci kereta terbabit secara sah, tetapi ditolak.

“Tempat cuci kereta itu mengambil kira aspek kebersihan selain kawasan berkenaan sepatutnya dijadikan tempat letak kereta awam kerana bersebelahan Tasik Biru Kundang iaitu lokasi riadah awam.

“Justeru, kita akan mengadakan pemantauan berkala dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada pencerobohan berulang,” katanya.

Difahamkan, tapak premis dirobohkan akan dinaiktaraf dan dijadikan kawasan parkir bagi pengunjung Tasik Biru sebagai langkah menarik pengunjung datang beriadah di tasik berkenaan.


Pengarang :