PBTSELANGOR

MPSJ anjur Bulan Kesedaran Penyakit sepanjang Februari

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 FEB: Bagi meningkatkan taraf kesihatan komuniti setempat, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui Jabatan Kesihatan mengambil inisiatif menganjurkan Bulan Kesedaran Penyakit Berjangkit, sepanjang Februari ini.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, pihaknya sudah merancang dan mengatur pelbagai pengisian program menarik, khususnya dalam menggalakkan penyertaan masyarakat di kawasan pentadbiran MPSJ.

“Antaranya taklimat dan pameran berkaitan penyakit berjangkit seperti demam denggi, leptospirosis (kencing tikus), penyakit jangkitan kanak-kanak (HFMD dan lain-lain), tuberculosis (batuk kering), HIV/AIDS, rabies dan influenza (selsema).

“Taklimat dan pameran kesedaran penyakit kanak-kanak akan diadakan di Dewan Tuah Kompleks 3C, sementara taklimat serta pameran penyakit berjangkit yag lain diadakan di Dewan dan Laman Kenanga Ibu Pejabat MPSJ USJ 5,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPSJ Bil.01/2019, di Bangunan MPSJ, di sini, baru-baru ini.

Katanya, selain taklimat dan pameran berkenaan, kempen derma darah yang akan dikelola Pusat Darah Negara turut diadakan, pada 14 Februari ini, di Laman Kenanga Ibu Pejabat MPSJ USJ 5 bermula jam 10 pagi hingga 4 petang.


Pengarang :