PBTSELANGOR

MPSJ proaktif banteras denggi

OLEH UMIRAH IZRIN

SUBANG JAYA, 28 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui jabatan kesihatannya mengambil langkah proaktif membanteras wabak denggi dan chikungunya.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohammad Zulkarnain Che Ali berkata, antara inisiatif itu ialah memeriksa tempat pembiakan, ‘larvaciding’, semburan ‘Ultra Low Volume’ (ULV), Semburan Ruang Thermal (SRT), dan gotong-royong.

Katanya, MPSJ turut menyebarkan maklumat melalui pelbagai landasan seperti memuat naik risalah di laman sesawangnya, menggantung “banner” dan mengadakan taklimat di kawasan lokaliti denggi.

“MPSJ komited menangani masalah denggi dan menyeru warga Subang Jaya untuk memastikan keadaan persekitaran di kediaman masing-masing berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan jentik-jentik.

“Pihak kami juga akan mengadakan perbincangan dan operasi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Petaling bagi membanteras masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Mesyuarat MPSJ Bil 02/2019, di Bilik Mesyuarat Kenangan Aras 2, di sini, semalam.

Pada masa sama, MPSJ turut menggalakkan orang ramai melaksanakan Kempen 10 Minit dengan membersihkan kawasan kediaman masing-masing, terutama di tempat yang mudah terdedah dengan pembiakan jentik-jentik.

Terdahulu, sebanyak 1,857 kes denggi dilapor dan disahkan positif bagi minggu Epid 1 hingga 8.

 


Pengarang :