SELANGORSUKANKINI

MSL: PKNS FC tewaskan Selangor 0-4

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 17 FEB: PKNS FC melakar kemenangan pertama dalam saingan Unifi Liga Super bagi musim 2019 dengan menewaskan Selangor 0-4 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

Turun sebagai pasukan pelawat, PKNS FC terlebih dahulu menguji gawang Selangor menerusi percubaan Muhamad Faizat Mohamad Ghazali pada minit ke-10 tetapi Mohd Khairulazhan Mohd Khalid lebih bersedia menepis bola keluar.

Mohd Syazwan Zainon turut menguji gawang pelawat menerusi satu rembatan kencang bagaimanapun gagal menepati sasaran.

Pemain import PKNS FC, Vathanaka Chan turut menguji gawang Selangor pada minit ke-18, namun berjaya ditepis keluar Mohd Khairulazhan

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-27 apabila Nicholas Ryan Swirad berjaya menanduk masuk sepakan penjuru Vathanaka bagi kedudukan 0-1.

Red Ants berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan percuma Ganriel Miguel Guerra pada minit ke-38 tetapi gagal menepati sasaran.

Menuju minit akhir babak pertama, Muhammad Syahmi Safari hampir menyamakan kedudukan buat Selangor tetapi percubaanya gagal menerjah jaring walaupun terkena pertahanan PKNS FC.

PKNS FC terus garang pada babak kedua dengan jaringan kedua pada minit ke-49 apabila Kpah Sean Sherman berjaya memperdaya pertahanan dan penjaga gol Selangor dengan lambungan tinggi yang terus menerjah gawang tuan rumah bagi kedudukan 0-2.

Mohd Syazwan hampir merapatkan jurang buat Selangor pada minit ke-55 tetapi percubaannya sekadar singgah di palang gol.

Selangor terus mengasak mencari gol pertama menerusi rembatan Rufino Segovia pada minit ke-61 tetapi berjaya ditangkap kemas Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.

Rufino sekali lagi hampa pada minit ke-67 apabila rembatannya terus ke dakapan penjaga gol selepas menyambut sepakan percuma, Endrick Dos Santos.

 

Disaat Selangor terus mengasak, PKNS FC menambah jaringan ketiga pada minit ke-79 menerusi Vathanaka yang berjaya menolak masuk lorongan rakan sepasukan bagi kedudukan semasa 0-3.

Ketika menuju babak akhir permainan, Romel Morales memastikan derita buat Selangor dengan gol keempat pada minit ke-90 selepas berjaya melepaskan rembatan kencang di tepi gawang tuan rumah bagi tiga mata penuh pertama buat PKNS FC musim ini.

 


Pengarang :