SUKANKINI

MSN Selangor lawat Kompleks Sukan Ranau

OLEH NAZLI IBRAHIM

RANAU, 19 FEB: Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor mengadakan lawatan ke Kompleks Sukan Ranau untuk melihat sendiri kemudahan yang ditawarkan di kompleks terbabit.

Pemangku Pengarah Eksekutif MSN Selangor, Mohamad Nizam Marjugi berkata, kompleks sukan yang diuruskan Lembaga Sukan Negeri Sabah itu menawarkan pelbagai kemudahan sukan di satu kawasan.

“Seperti yang kita lihat Kompleks Sukan Ranau ini menempatkan pelbagai kemudahan sukan seperti padang bola sepak, enam gelanggang badminton, sepak takraw, memanah dan futsal.

“Kami juga dapat pelajari bagaimana cara mereka menguruskan kemudahan yang begitu banyak,” katanya sebaik selesai lawatan selama dua jam di kompleks terbabit.

Sementara itu, Pengurus Kompleks Sukan Ranau, Austin Orou berkata, kehadiran delegasi Selangor ke kompleks terbabit membawa makna besar kepada seluruh warga kerja, di situ.

“Kehadiran delegasi MSN Selangor akan mengeratkan hubungan kedua-dua pihak,” katanya.

Kompleks berkeluasan 100 ekar itu turut menempatkan sukan ekstrem seperti ‘paragliding’, ‘all terrrain vehicle’ (ATV) dan ‘motocross’.


Pengarang :