SELANGOR

Muadzam terima anugerah kepimpinan PeBT, MPS PeBT terbaik

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 FEB: Pengerusi Induk Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Muadzam Mohamed Shariff berjaya merangkul Anugerah Kepimpinan Penggerak Belia Temptan (PeBT) bagi sesi 2016-2018.

Manakala PeBT MPS turut dinobatkan PeBT terbaik negeri Selangor bagi tempoh sama dalam satu majlis di Dewan Jubli Perak, pada 17 Februari lalu.

Muadzam berkata, anugerah berkenaan memberikan sejuta kenangan buat dirinya bersama pasukan PeBT MPS selain bersyukur dan gembira atas pengiktirafan terbabit.

“Saya bersyukur di atas anugerah ini dan ia adalah suntikan semangat kepada PeBT baru yang dilantikan bagi sesi 2019 – 2021.

“Selaku agen kepada anak muda, PeBT harus memainkan perkara yang penting dan bersifat mesra kepada anak muda terutamanya di peringkat akar umbi,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, PeBT adalah landasan kepada anak muda untuk menjadi pemimpin dan mengajar corak politik masa kini.

Katanya, PeBT juga wajar menjadi agen terbaik kepada anak muda untuk mendengar masalah serta membantu menyelesaikan masalah gelaja sosial yang kini kian menghantui anak muda.

“Justeru, PeBT harus menggerakan anak muda dengan pelbagai aktiviti bersama agensi-agensi kerajaan yang sedia ada.

“Dengan pembabitan semua pihak, masalah gelaja sosial dan perangi dadah dapat dicegah,” katanya.

Muadzam turut menasihatkan anak muda supaya sentiasa berfikiran matang dan bergerak secara organisasi supaya mampu memperkukuhkan muafakat.

Dalam majlis itu, Muadzam membawa pulang wang tunai RM1,000 manakala MPS sebanyak RM5,000.

Hadir sama Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh EXCO Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Dan Modal Insan, Khairuddin Othman.


Pengarang :