NASIONAL

Muhammad Aiman calon muda penuh keyakinan

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 28 FEB: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali disifatkan sebagai adik angkat kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Ketua Wanita PAKATAN, Zuraida Kamaruddin berkata, hubungan erat itu sekali gus memberi keyakinan kepada Muhammad Aiman untuk membawa suara penduduk Semenyih.

“Jika kita nampak sebelum ini beliau gugup tetapi sekarang cantik, elok bila bercakap.

“Beliau anak muda, kini sudah dapat keyakinan diri, beliau tahu apa yang nak dilaksanakan, kini Aiman sudah jadi adik angkat Dato’ Menteri Besar,” katanya pada ceramah Rapat Rakyat, di Semenyih.

Katanya, PAKATAN mengetengahkan calon muda kerana mahu kesinambungan pemimpin bagi memastikan negara terus maju dan membangun dengan baik.

“Apabila ada anak muda menjadi calon, saya beranggapan negara masih ada harapan.

“Kita perlu mencari penganti dalam kalangan orang muda supaya kesinambungan mentadbir negara berjalan lancar,” katanya.

Pada masa sama, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pemilihan calon PAKATAN akan memudahkan urusan komunikasi antara Kerajaan Negeri dan Pusat.

“Kita tidak memilih parti untuk menyalurkan pembangunan tetapi dari pengalaman, contohnya ketika Semenyih berada di bawah UMNO, mereka tidak menyebarkan apa yang dilaksanakan PAKATAN.

“Antaranya, ketika saya melawat kampung orang asli baru-baru ini, mereka masih meminta tanah sedangkan Kerajaan Negeri sememangnya mengazetkan tanah mereka.

“Mereka tidak diberi manfaat yang disediakan Kerajaan Negeri. Mereka mendakwa, pinggan mangkuk di dewan pun kena ambil semula bila UMNO kalah,” katanya.


Pengarang :