BERITA UTAMASELANGOR

Muhammad Aiman jaguh muda PAKATAN di Semenyih

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 14 FEB: Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Hulu Langat, Muhammad Aiman Zainali diumumkan sebagai calon mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN), pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Perkara itu diumumkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada majlis pengumunan calon dan pelancaran jentera PRK N.24 DUN Semenyih, di perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN di sini hari ini.

Majlis itu turut dihari Dato’ Menteri Besar merangkap Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Amirudin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi merangkap Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa barisan kepimpinan PAKATAN peringkat pusat juga negeri.

Muhammad Aiman, 30, adalah anak jati Semenyih dan mula terbabit dalam politik bersama BERSATU, sejak parti itu ditubuhkan pada 2017.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik kelas pertama dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan kini sedang melanjutkan pengajian ijazah doktor falsafah dalam bidang sama, di universiti yang sama.

Terdahulu, Muhyiddin ketika membuat pengumuman berkata, calon dipilih sudah menjalani pelbagai tapisan rekod membabitkan jenayah, muflis dan bebas rasuah.

“Kita mahukan calon bersih, mampu membantu rakyat Semenyih yang boleh beri kita kemenangan,” katanya.


Pengarang :