SELANGOR

Muhammad Aiman sedia selesai isu berbangkit di Semenyih

KAJANG, 16 FEB: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali, 30, sedia menyelesaikan segala isu berbangkit di DUN itu.

Muhammad Aiman berkata, sekiranya beliau dipilih sebagai wakil rakyat DUN Semenyih, isu setempat akan diselesaikan sebaiknya.

“Saya lebih memilih untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan apa sahaja perkara berbangkit di sekitar Semenyih,” katanya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Proses Penamaan Calon bagi DUN PRK Semenyih yang diadakan di Dewan Sri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, di sini, hari ini.

Mengulas berkenaan calon yang bakal ditandinginya mempunyai pengalaman luas dalam bidang politik, Muhammad Aiman berkata, ia adalah kelebihan masing-masing.

“Saya akui tiada sebarang masalah terhadap calon lain kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Tidak perlu membanding-bandingkan calon kerana apa yang penting adalah masing-masing harus bertanding secara sihat,” katanya yang bekerja sebagai jurutera.

Terdahulu, pada proses penamaan calon, Muhammad Aiman bakal bertemu empat penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan pemimpin tempatan, Pengerusi Tetap UMNO cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi, 58.

Selain itu, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, mewakili calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ bertanding atas tiket Bebas.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PAKATAN, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Allahyarham Bakhtiar menewaskan penyandangnya daripada BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili PSM.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14.

Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.


Pengarang :