SELANGOR

Muhammad Aiman tekad selesai isu rakyat jika menang

OLEH AFIX REDZUAN

SEMENYIH, 22 FEB: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali berikrar untuk menyelesaikan beberapa masalah setempat sekiranya dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri (ADN), 2 Mac ini.

Berucap pada Ceramah Isu-Isu Semasa di Kampung Batu 26 Beranang sempena Pilihan Raya Kecil Dun terbabit, beliau berkata, proses pembangunan di kawasan Semenyih dilihat sendiri sejak dahulu terutama soal infrastruktur.

“Dua tiga hari ini pelbagai masalah dan aduan saya terima. Masalah lampu jalan, sampah sarap dan warga asing.

“Menang 2 Mac ini, saya akan usahakan untuk selesaikan masalah yang dibangkitkan Insya-Allah,” katanya.

Dalam ucapannya turut disentuh soal pembinaan hospital yang menjadi bualan ramai bahkan sudah mendapat reaksi balas daripada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Kementerian Kesihatan dilaporkan belum melihat sebarang keperluan bagi pembinaan hospital di Semenyih dan tiada sebarang perbincangan dilakukan untuk menyediakan kemudahan hospital.

 


Pengarang :