NASIONAL

Muhyiddin arah KPN siasat isu patung berhala di surau

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyiasat secara terperinci pihak yang bertanggungjawab meletakkan patung berhala, di Surau Sabilul Huda, Klang.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata, perbuatan terkutuk itu jelas berbaur hasutan dan provokatif yang berniat jahat untuk menghina Islam dan menjejaskan keharmonian kaum serta agama berkenaan.

Justeru, katanya, tindakan tegas berasaskan undang-undang perlu diambil terhadap pihak terbabit.

“Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan penghinaan terhadap agama yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat.

“Mereka yang melakukan perbuatan keji ini perlu ditahan mengikut proses undang-undang, didakwa di mahkamah dan dihukum jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, kejadian penghinaan terhadap Islam termasuk mesej penghinaan yang disebarkan di media sosial sejak kebelakangan ini amat berbahaya dan menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.

“Terbaharu ialah kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan suspek kes ini sudah dikenal pasti serta siasatan diselesaikan polis.

“Saya percaya Timbalan Pendakwaraya akan membuat keputusan berkenaan pendakwaan suspek itu, di mahkamah dalam masa terdekat,” katanya.

Terdahulu, penduduk Taman Pendamar Indah terkejut apabila mendapati sebuah patung berhala diletakkan bersebelahan pintu masuk utama, di Surau Sabilul Huda.

Patung itu dipercayai diletakkan individu tidak bertanggungjawab sebelum disedari siak yang datang membuat persiapan solat Asar, di surau berkenaan.

 


Pengarang :