NASIONAL

Najib bukan ‘bossku’ tapi ‘pencuriku’

OLEH NORHAYATI UMOR

SEMENYIH, 13 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap bukan seorang ‘hero’ kerana menanguhkan perbicaraannya dalam kes membabitkan pecah amanah, menyalahguna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohammed Azmin Ali berkata, ‘bossku’ tidak seharusnya menangguhkan kes jika beliau benar yakin tidak bersalah.

“Hanya sekarang dia menunggang basikal, makan roti canai, pakai kain sarung walaupun salah dan naik teksi. (Sebelum ini) pergi Cameron Highland, sekarang saya nak lihat beliau cuba di Semenyih pula.

“Orang Melayu di Semenyih tidak sama seperti di Cameron Highlands. Mereka bukan Melayu Pekan. Itulah sebabnya saya mahu lihat jika ‘bossku’ datang ke sini atau tidak,” katanya pada Majlis
Pelancaran Bilik Gerakan Wanita, di Beranang, malam tadi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu turut menyifatkan Najib bukan bos tetapi pencuri dan mahu rakyat melihat siapa pengkhianat dalam kalangan orang Melayu sendiri.

“Jika parti itu, ahli dan pimpinannya jujur, kami akan menyokong mereka tetapi jika pemimpin itu seorang kleptokrat, adakah kita menyokongnya? Jika beliau pencuri, kami menyokongnya? Jika pemimpin rasuah, beliau bos kita?

“Jawapannya tidak! Pada saya, beliau bukan ‘bossku’ tetapi ‘pencuriku’. Saya akan tunggu kamu di Semenyih, saya akan mengejar kamu dan menangkap kamu dan mendedahkan kamu sebagai pencuri di negara ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa semua jemaah menteri supaya bekerja kuat dan memastikan amanah rakyat dipikul dengan sebaiknya.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) terutama di Selangor tidak mencuri tanah atau hasil balak, sebaliknya membina rumah mampu milik untuk rakyat.

“Enam hari sebelum Allahyarham Bakthiar Mohd Noor meninggal dunia, saya dan beliau dipanggil untuk merasmikan rumah mampu milik di sini kerana pada 2015 ketika menjadi Dato’ Menteri Besar, saya meletakkan batu asas.

“Saya mahu tauke besar jangan buat rumah mahal. Nak bina rumah mahal kena ada rumah murah. Bossku berani tak cakap dengan tauke? UMNO kalau letak batu asas sampai jadi batu nisan. Hospital Pendang tiga kali Najib letak batu asas tapi sampai sekarang yang ada hanya batu nisan.

“Kita buat rumah mampu milik dengan harga RM100,000. Bossku boleh buat? Tengok Pekan ada rumah mampu milik? Tak ada…,”katanya.


Pengarang :