NASIONAL

Najib diselar ‘bishe-bishe’ yang tak tahu malu

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEMENYIH, 24 FEB: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disifatkan sebagai individu tidak mempunyai perasaan malu dan bersalah kepada rakyat, selepas terbabit dalam skandal yang merosakkan imej serta ekonomi negara.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tindak tanduk Najib sejak kebelakangan ini di media sosial jelas membuktikan sikapnya itu.

“Kesabaran rakyat sudah sampai masanya, rakyat bersuara untuk menolak mereka yang jelas melakukan kesalahan dan kemudian dengan bangga, tanpa rasa malu, berbohong kepada rakyat.

“Saya ambil contoh 1MDB (1Malaysia Development Berhad), pemimpin kata nak malu apa, rupanya memang muka tak tahu malu sebab cuba tengok kes RM2.6 bilion, ketika mula-mula muncul, tanpa rasa malu dia sebut takkanlah saya sebodoh itu nak masuk wang RM2.6 bilion ke dalam akaun saya.

“Cakap sahaja baik, berdegar-degar, nampak bukan ‘bishe-bishe’, naik motor, malu apa sini, malu apa sana, diam-diam RM2.6 bilion masuk poket,” katanya ketika berucap pada Ceramah Umum Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, di Taman Sri Jenaris, di sini, malam tadi.

Katanya, Najib kemudiannya dengan angkuh menyingkirkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa siasatan dilakukan terhadap skandal 1MDB.

Najib selepas itu sekali lagi tanpa rasa malu menipu rakyat kononnya wang itu untuk membantu Sunnah Waljamaah memerangi agenda memburukkan Islam.

“Rakyat tukar kerajaan bukan semata kerana program yang akan dilaksanakan tetapi rakyat bersatu menolak pemimpin mencuri, penipu, tak tahu malu macam Najib Razak yang merosakkan ekonomi negara,” katanya.


Pengarang :