GLOBAL

NASA tamatkan misi robotnya di Marikh

 

LOS ANGELES, 14 FEB: Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan Amerika (NASA) mengumumkan penamatan misi perayau robot Opportunity di planet Marikh, semalam.

Langkah itu diambil setelah 15 tahun robot itu mendarat di planet itu, lapor agensi berita China Xinhua.

Pengumuman itu dibuat dalam sidang akhbar agensi berkenaan di Makmal Pendorongan Jet di Pasadena, California susulan percubaan terakhir NASA untuk berkomunikasi dengan perayau robot itu pada kelmarin tidak mendapat respons.

Perayau robot itu tidak dapat dihubungi selama lapan bulan sejak ribut debu membadai planet merah tersebut, pada Jun tahun lepas.

Anggota pasukan misi cuba memulihkan perayau robot itu namun gagal mewujudkan komunikasi lagi.

“Mengucapkan selamat tinggal adalah sesuatu yang sukar, namun masanya telah tiba untuk berbuat demikian,” kata John Callas, pengurus projek bagi Opportunity.

Perayau robot bersaiz kereta golf itu jauh melangkaui misi perjalanan selama 90 hari seperti yang dirancang.

Ia telah melakukan perjalanan lebih 45 kilometer di Marikh dan bekerja selama hampir 15 tahun.

Opportunity telah mendarat di Marikh pada 24 Januari 2004.

Paling utama antara matlamat saintifik misi itu ialah mencari dan mencirikan pelbagai jenis batuan serta tanah untuk petunjuk kepada aktiviti air pada masa lampau di Marikh.

– BERNAMA


Pengarang :