NASIONAL

“Nasi lemak lebih mahal daripada harga air Malaysia ke Singapura” – PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 17 FEB: Harga jualan air Malaysia ke Singapura terlalu rendah dan perlu disemak semula, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pada masa ini, Malaysia menjual air mentah pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen iaitu jauh lebih murah dibandingkan dengan harga sebungkus nasi lemak.

“Semua harga barang naik kecuali harga air Malaysia ke Singapura sahaja tak naik-naik, masih lagi 3 sen untuk 1,000 gelen.

“Nasi lemak pun jauh lebih mahal daripada harga air Malaysia,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Dasar Komuniti Negara di Padang Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya, Taman Puchong Indah di sini, hari ini.

 

Dr Mahathir turut diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan beberapa menteri kabinet.

Dr Mahathir berkata, selain barangan pengguna, nilai hartanah turut meningkat termasuk membabitkan rumah mampu milik.

Katanya, membeli rumah mampu milik juga merupakan satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.

Terdahulu, Dr Mahathir melancarkan Dasar Komuniti Negara, satu pendekatan membentuk komuniti yang lebih peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat dan mewujudkan kehidupan lebih sejahtera.

Memberi penekanan kepada nilai, cara hidup serta aspek sosial yang diamalkan oleh komuniti bandar dalam menjalani kehidupan seharian, dasar pembangunan sosial itu bertujuan menerapkan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai kesejahteraan hidup masyarakat.

Dalam perutusan di buku kecil  setebal 32 halaman itu, Dr Mahathir berkata, selain kestabilan politik dan ekonomi berkembang pesat, perjalanan Malaysia ke arah sebuah negara maju yang moden dan kukuh ekonominya, memerlukan aspek sosial yang rapi dan utuh.


Pengarang :