EKONOMINASIONAL

NEAC 2.0 harus ambil kira kumpulan M40

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) yang baharu mesti mempunyai agenda jelas bagi hala tuju ekonomi negara untuk melindungi lebih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan.

Aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ia termasuk memperluaskan jaringan program keselamatan sosial kepada golongan pertengahan (M40) dan bukan hanya terhad kepada golongan berpendapatan rendah (B40) semata-mata.

“Untuk membantu kumpulan M40 dan B40, kerajaan mesti menangani isu yang mempengaruhi rakyat, terutama kenaikan harga makanan.

“Usaha untuk menangani kenaikan harga mesti membabitkan semua pihak dalam rantaian bekalan daripada pengeluar dan pembekal kepada pemborong serta peruncit,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, langkah itu perlu komprehensif supaya kerajaan dapat mengawal kenaikan harga di seluruh rantaian bekalan menerusi intervensi dan penguatkuasaan.

Beliau berkata, kumpulan M40 juga prihatin berkenaan harta benda dan penjagaan kesihatan yang mahal.

“Dana RM1 bilion bagi Rumah Mampu Milik Kumpulan B40 yang dilancarkan Bank Negara perlu diperluaskan kepada pembeli rumah M40.

“Peningkatan kos sara hidup memberi cabaran kepada kumpulan M40 untuk membeli rumah impian mereka dan dengan itu memerlukan beberapa bentuk bantuan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, skim insurans kesihatan kepada kumpulan M40 juga perlu diperluaskan dan memberi perhatian kepada ketidaksamaan besar dalam jurang pendapatan M40, di pelbagai negeri di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, NEAC 2.0 juga harus mempertimbangkan konteks setempat apabila mencari penyelesaian bagi masalah yang mempengaruhi kumpulan M40, dengan mengambil kira jurang pendapatan berbeza di negeri yang berbeza.

 


Pengarang :