EKONOMINASIONAL

Niaga hadapan emas dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan tinggi minggu depan berikutan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan ketidakseimbangan geopolitik.

Seorang peniaga berkata, pelabur memberi tumpuan kepada logam emas itu kerana mereka percaya sentimen pasaran global yang lemah akan melonjakkan lagi harga.

“Rundingan perdagangan antara AS dan China telah berlangsung selama bertahun-tahun tetapi sehingga sekarang tiada keputusan jelas yang dicapai kecuali gencatan perdagangan selama 90 hari.

“Memandang tarikh akhir perdamaian perdagangan itu semakin hampir, tidak ada sebarang pengesahan sama ada akan ada atau tidak perbincangan di peringkat tinggi,” katanya, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, selain kebimbangan perdagangan membabitkan dua kuasa ekonomi dunia itu, situasi di United Kingdom (UK) berkaitan Brexit juga membimbangkan kerana tiada sebarang hala tuju jelas berhubung perkara itu.

“Sesetengah parti mahukan referendum kedua, manakala Perdana Menteri UK, Theresa May berkata, Kesatuan Eropah mahukan Brexit,” katanya.

Bagi minggu dagangan singkat ini, pasaran niaga hadapan emas tempatan diniagakan rendah.

Berbanding Khamis minggu sebelumnya, kontrak bulan semerta Februari 2019 turun 10 mata kepada RM172.00 segram pada Jumaat, Mac 2019 susut 20 mata kepada RM172.00, April 2019 jatuh 16 mata kepada RM172.30 dan Jun berkurangan 17 mata kepada RM172.40 segram.

Pasaran tempatan ditutup pada Selasa dan Rabu sempena cuti umum perayaan Tahun Baharu Cina.

Jumlah dagangan mingguan berjumlah satu lot manakala kepentingan terbuka sebanyak 23 kontrak.


Pengarang :