NASIONAL

Operator kilang didakwa hina Nabi Muhammad SAW

SHAH ALAM, 26 FEB: Seorang operator kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik satu hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW menggunakan aplikasi Facebook, pada minggu lalu.

A Taneson, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Rini Triany Muhamad Ali.

Lelaki itu didakwa telah memuat naik hantaran terbabit dengan menggunakan laman profil Facebook “Sarkar Tanesan” yang telah dibaca di Seksyen 10 di sini, kira-kira 8 pagi pada 19 Februari lalu.

Tindakan itu berkemungkinan menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang beragama Islam dengan kumpulan orang bukan beragama Islam di seluruh negara.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.40 pagi pada 19 Februari lalu dan dituduh mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 298A (1) Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang ikat jamin ke atas tertuduh berikutan kesalahan di bawah Seksyen 298A itu tidak boleh diikat jamin.

Peguam Kailashii Vasudevan Appu yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan tertuduh mempunyai masalah mental.

“Mohon jaminan diberi supaya tertuduh boleh mendapatkan rawatan di hospital dan bagi mendapatkan laporan psikiatrik anak guam saya,” katanya.

Rini Triany kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 5 April depan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis terdekat dua minggu sekali sehingga kes selesai.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :