NASIONAL

Padah bawa ‘buku lima’

BATU GAJAH, 5 FEB: Padah membawa senjata buku lima kononnya sebagai pelindung diri, seorang lelaki ditahan kerana memiliki senjata dalam Ops Bersepadu di tiga lokasi di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran simpang empat Pusing di sini, malam tadi.​​​​​​​

Dalam operasi di Kilometer (KM) 13 dan KM 15 Jalan Ipoh-Lumut serta Jalan Pusing- Batu Gajah selama empat jam bermula jam 10 malam, polis turut mengeluarkan saman terhadap 114 kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.​​​​​​​​​​​​​​

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, ACP Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berumur 20 tahun itu, menggunakan alasan tidak tahu bahawa ia satu kesalahan dan mendakwa hanya untuk perlindungan diri.

“Selain buku lima terbabit turut dirampas satu beg silang hitam milik suspek dan suspek ditahan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Adnan berkata, polis turut menahan sembilan lagi lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun atas kesalahan memandu dalam keadaan mabuk, memiliki daun ketum dan tujuh orang positif dadah ketika ujian air kencing yang dijalankan secara rawak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun Ketum dan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.​​​​​​​

Mengulas lanjut, Adnan berkata lokasi operasi tersebut merupakan kawasan panas yang sering berlakunya kemalangan maut.

Operasi berkenaan membabitkan 69 pegawai dan anggota IPD dan turut dibantu 36 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak serta lapan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri.

— BERNAMA


Pengarang :