GLOBAL

Pakar: AS, China perlu kerjasama jalin hubungan lebih kukuh

 

HOUSTON, 11 FEB: Para penggubal dasar, ahli perniagaan serta sarjana dari Amerika Syarikat (AS) dan China perlu berganding bahu membina hubungan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara, lapor agensi berita China, Xinhua memetik kenyataan seorang pakar dasar awam AS.

Ketika menghadiri satu resepsi pada petang Sabtu bagi meraikan sambutan Tahun Baharu China, David Firestein, pengarah eksekutif pertama Pusat Dasar Awam China di Universiti Texas, Austin berkata “Ini adalah masa yang tepat untuk kita semua melakukan segala yang termampu bagi membina hubungan lebih kukuh antara AS dan China.”

Firestein, yang juga Presiden dan CEO Yayasan George H.W. Bush bagi Hubungan AS-China, berkata, pemimpin komuniti kedua-dua negara mempunyai peluang untuk mempromosi hubungan AS-China yang lebih sihat.

“Kami berdepan cabaran yang tidak pernah berlaku, namun kami juga mempunyai peluang yang belum pernah ada sebelum ini. Dengan kepimpinan organisasi ketika ini, kami boleh melakukan satu perubahan positif dalam hubungan ini,” katanya, lapor BERNAMA.

Neil Bush, anak lelaki bekas Presiden AS, George H.W. Bush, memaklumkan Xinhua bahawa beliau percaya pertukaran rakyat kepada rakyat antara kedua-dua negara mampu membawa perubahan.

“Pertukaran budaya, pertukaran pelajar. Setiap kali seorang rakyat Amerika memahami secara peribadi asas budaya dan individu atau rakan-rakan China, sikap mereka terhadap China segera berubah. Jadi, perkara ini amat penting,” katanya.

Resepsi bagi sambutan itu adalah anjuran bersama Yayasan George H.W. Bush bagi Hubungan AS-China, US China Innovation Alliance (UCIA) dan syarikat pemasaran tempatan Z LAB Global.


Pengarang :