SELANGOR

PAKATAN dijangka kekal di Semenyih

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) dijangka dapat mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada pilihan raya kecil (PRK), 2 Mac ini.

Berdasarkan kajian Institut Darul Ehsan (IDE), sebanyak 46 peratus diperolehi PAKATAN, manakala 37 peratus diperolehi Barisan Nasional, 12 peratus lain-lain dan 5 peratus bebas.

Timbalan Pengerusinya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, peratusan dimiliki PAKATAN itu merosot empat peratus berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Penentuan kali ini bergantung kepada pengundi yang mahu menyokong calon selain PAKATAN dan bebas, mereka akan menentukan siapakah parti yang akan memenangi PRK kali ini.

“PAKATAN dilihat mendahului parti lain menjelang proses penamaan calon pada Sabtu ini,” katanya dalam sidang media di Auditorium IDE di sini, hari ini.

Katanya, kajian itu membabitkan 60 orang enumerator terdiri daripada institut pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Lembah Klang.

“Kajian dilakukan secara bersemuka membabitkan kaum Melayu, India, Cina dan lain-lain.

“Pemilihan responden dipilih secara rawak (random sampling) dengan soalan kaji selidik berstruktur menggunakan inovasi apps IDE e-survei dan tablet,” katanya.

Kajian lapangan itu dilakukan di seluruh kawasan DUN meliputi 23 daerah mengundi dan terdiri daripada 53,257 orang pengundi berdaftar, selama tiga hari pada 31 Januari hingga 1 Februari lalu.


Pengarang :