GLOBALNASIONAL

Palestin kutuk Israel potong hasil cukai

RAMALLAH, 18 FEB: Pihak Berkuasa Palestin (PA) mengutuk tindakan kabinet keselamatan Israel meluluskan pemotongan lebih US$138 juta daripada hasil cukai dibayar PA kepada rakyat Palestin yang meringkuk dalam penjara Israel.

Agensi berita China Xinhua yang memetik jurucakap presiden PA, Abu Rudeineh berkata, Palestin memohon supaya pemotongan dibuat melalui dana pembersihan negara itu, namun ia ditolak sepenuhnya Israel.

Justeru, katanya, tindakan itu dianggap zalim dan merompak wang rakyat Palestin.

“Presiden Mahmoud Abbas sentiasa menegaskan kami tidak akan menerima sebarang tindakan yang boleh mengancam hidup wira kami, banduan dan keluarga mereka yang mati syahid serta mangsa yang cedera.

“Ini adalah keputusan sebelah pihak dan dibuat sewenang-wenangnya yang menjejaskan persetujuan dicapai,” katanya.

Di bawah perjanjian interim yang ditandatangani di Paris pada 1996, Israel mengutip cukai bagi pihak PA, yang menyaksikan jumlah kutipan bulanan semasa ialah US$222 juta.

Sejak rundingan kedua-dua pihak menemui jalan buntu pada 2014, Israel menahan wang itu sebagai langkah membantah atau bagi mengenakan tekanan.

Sementara itu, pengerusi Suruhanjaya Hal Ehwal Banduan dan Bekas Tahanan dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin, Qadri Abu Bakker berkata, keputusan Israel diluluskan “dengan sokongan komprehensif kerajaan Amerika Syarikat.”

“Israel kini berusaha melemahkan isu tahanan rakyat Palestin dan legitimasi perjuangan kebangsaan mereka serta membuktikan bahawa mereka adalah pengganas.

“PA akan terus membuat bayaran kepada banduan terbabit,” katanya.


Pengarang :