NASIONAL

Pasaran getah dijangka terus meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan momentum kukuh, minggu depan ekoran sentimen pasaran positif, susulan Mesyuarat Jawatankuasa Khas peringkat Menteri Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC), pada Jumaat, kata peniaga.

Mesyuarat ITRC, antara lain memutuskan Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS) akan dilaksanakan untuk mengurangkan eksport dari Thailand, Indonesia dan Malaysia sebanyak 200,000 hingga 300,000 tan metrik.

ITRC berkata, pegawai kanannya akan membincangkan butiran mengenai pelaksanaan AETS dalam tempoh dua minggu di Thailand.

Mesyuarat itu, yang diadakan di Bangkok, dihadiri menteri-menteri dari tiga negara berkenaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia, Denis Low Jau Foo berkata, permintaan yang berterusan dari China dan India menyokong harga getah yang lebih tinggi.

“Ini mungkin berlaku pada minggu depan dengan jangkaan harga yang lebih tinggi disebabkan pokok getah mengalami musim daun luruh.

“Selain itu, terdapat juga petunjuk menoreh getah perlahan sedikit disebabkan harga rendah dan ini menyumbang kepada paras stok yang lebih rendah,” katanya kepada BERNAMA.

Seorang lagi peniaga berkata, penyusutan ringgit akan turut menyokong permintaan terhadap getah pada minggu depan.

“Bagaimanapun, di peringkat luaran, ketidaktentuan yang berterusan berhubung rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China akan mengehadkan kenaikan komoditi itu,” kata peniaga.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran diniagakan kebanyakannya tinggi, disokong oleh pasaran niaga hadapan getah serantau yang meningkat, ringgit yang lemah berbanding dolar US, harga minyak yang lebih baik dan mesyuarat ITRC.

Berasaskan Jumaat kepada Jumaat, harga tengah hari Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 31 sen kepada 573.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal meningkat 17.5 sen kepada 422.50 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada 5 petang SMR 20 menambah 34.5 sen kepada 584.50 sen sekilogram manakala susu getah pukal menokok 18 sen kepada 426.50 sen sekilogram.

 


Pengarang :