NASIONAL

Patriot: Penjawat awam cuai, tidak laksana arahan wajar dikena tindakan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Penjawat awam di semua peringkat yang secara sengaja atau cuai serta tidak melaksanakan arahan kerajaan baharu wajar dikenakan tindakan disiplin.

Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Datuk Mohamed Arshad Raji berkata, semua penjawat awam harus mengamalkan sikap kerja ‘tiada karut-marut’ sebagai mendukung usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) untuk memulihkan keadaan setelah mengambil alih tampuk pemerintahan daripada kerajaan terdahulu.

“Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa masih terdapat pegawai kementerian dan jabatan yang masih menyokong kerajaan terdahulu.

“Aktiviti dan tindak tanduk mereka yang melambat-lambatkan kerja termasuk juga bertentangan dengan prinsip kerajaan memerintah amat mengecewakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Mohamed Arshad menyifatkan situasi berkenaan sebagai ‘Napoleon kecil’ tidak harus dibiarkan berterusan memandangkan kerajaan PAKATAN sedang melakukan yang terbaik bagi memperbetulkan salah laku kerajaan terdahulu khususnya dalam tadbir urus kewangan dan ekonomi negara.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar kerajaan menguatkuasakan pengawasan lebih rapi terhadap perbuatan menyebarkan mesej khususnya di media sosial yang berniat jahat serta menimbulkan kebencian di kalangan rakyat terhadap kerajaan PAKATAN.


Pengarang :