GLOBALNASIONAL

PBB kutuk insiden pengeboman di Syria

NEW YORK, 20 FEB: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengutuk insiden pengeboman bandar Idlib di barat laut Syria, yang menyebabkan kematian dan kecederaan dalam kalangan orang awam.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric dalam satu taklimat akhbar rutin berkata, sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh dalam insiden pengeboman berganda, pada Isnin di kejiranan al-Qusor di Idlib, manakala hampir 100 lagi cedera termasuk orang awam dan sukarelawan.

“PBB amat khuatir dengan laporan bahawa terdapat tindakan yang seolah-olah sengaja mencetuskan permusuhan dan peningkatan jumlah kematian serta kecederaan dalam insiden di bahagian barat laut Syria itu,” katanya lapor agensi berita China Xinhua.

Sementara itu, katanya, sejumlah 130 sekolah di kawasan gabenor Idlib masih ditutup susulan insiden terbabit yang menjejaskan hampir 50,000 pelajar.

PBB terus menggesa pihak yang terbabit dalam konflik itu supaya memastikan perlindungan terhadap orang awam dalam usaha menghentikan tindakan memusnahkan hospital dan struktur awam lain yang penting kepada penduduk.

Letupan berganda itu dipercayai dicetuskan kenderaan yang sarat dipenuhi bahan letupan, yang memusnahkan kawasan al-Qusor di bahagian tengah Idlib.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :