Selangorkini
NASIONAL

Pelajar sekolah boleh jadi mata, telinga polis

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Pelajar sekolah boleh menjadi ‘mata dan telinga’ polis dalam usaha mengekang kegiatan jenayah, terutama berkaitan najis dadah.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pelajar boleh menyalurkan apa sahaja maklumat jenayah kepada polis atau melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

“Polis tidak boleh sentiasa berada di sekolah, oleh itu mereka perlu turut membantu menyalurkan apa jua maklumat kepada polis.

“Mereka (pelajar) tidak perlu takut kerana identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan dilindungi, segala maklumat akan dikumpul dan diambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pemuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Seri Rampai di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ismail Musa.

Sementara itu, Ismail berkata, pihaknya bekerjasama dengan polis serta Agensi Antidadah Kebangsaan bagi mengekang penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

“Pelbagai program dilaksanakan di 301 sekolah di Wilayah Persekutuan, fokus utama adalah memberi pendedahan bahaya dadah serta rokok,” katanya.

Pada 8 Februari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, pelajar sekolah kini tidak hanya terbabit dengan kegiatan ponteng sekolah, vandalisme dan buli tetapi turut berjinak-jinak dengan jenayah yang lebih ekstrem.

Berdasarkan statistik narkotik, 467 tangkapan membabitkan pelajar sekolah dibuat, pada 2017 dan angka itu meningkat kepada 577 tangkapan, pada 2018.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :