NASIONAL

Pemandu lori maut dalam kebakaran di Slim River

SLIM RIVER, 23 FEB: Seorang pemandu lori maut dalam kebakaran membabitkan kemalangan antara sebuah lori membawa muatan barang runcit dengan lori tangki minyak, di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, di sini pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.51 pagi tadi dan tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi itu.

“Setibanya jentera kami di tempat kejadian, didapati dua lori terbabit dalam kemalangan dan terbakar serta terdapat seorang mangsa maut.

“Maklumat mangsa, bangsa, agama tidak dapat dikenal pasti, kami akan kemas kini selepas mendapat info terkini,” katanya kepada BERNAMA.

Operasi pemadaman membabitkan anggota dari Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu BBP Tapah dan BBP Bidor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan ringkas berkata, lori tangki terbabit dipercayai melanggar belakang lori membawa muatan barang runcit itu, di lorong kecemasan lalu terbakar serta menyebabkan seorang maut.

“Semua lorong masih ditutup sepenuhnya, bagi kerja memadamkan kebakaran,” katanya.

Terdahulu, PLUS menutup sepenuhnya laluan arah utara dari Slim River ke Sungkai kepada semua kenderaan, ekoran kebakaran sebuah lori tangki minyak.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :