NASIONAL

Pemberian buku teks DLP dipercepat

KLUANG, 17 FEB: Pemberian buku teks bagi Program Dua Bahasa (DLP) untuk mata pelajaran Matematik dan Sains kepada pelajar tingkatan tiga dipercepatkan dengan edarannya sudah pun dimulakan, pada 10 Februari lalu.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, jika mengikut perancangan awal, buku teks itu sepatutnya dibekalkan pada awal Mac berikutan ia tidak dapat disediakan pada sesi awal persekolahan kerana terdapat perubahan dalam menambah baik sistem perolehan.

“Berikutan pengedarannya mula dilakukan maka semua sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak dijangkakan mempunyai buku itu, menjelang hujung bulan ini.

“Ini bermakna pelaksanaan menggunakan buku ini adalah bermula pada awal Mac,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program Majlis Jamuan Makan Sempena Tahun Baharu Cina Parlimen Simpang Renggam di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Baru Simpang Renggam, hari ini.

Katanya, sebelum ini pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menawarkan DLP sudah dibekalkan dengan cakera padat yang mengandungi empat bab awal buku teks subjek berkenaan.

“Ia disediakan bagi membolehkan guru dan murid mengakses dan memuat turun bahan pembelajaran berkaitan DLP sehingga buku teks berkenaan dapat dibekalkan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :