NASIONAL

Pemuda PAKATAN sokong hasrat calon bina hospital di Semenyih

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 21 FEB: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyokong kenyataan calon gabungan itu yang berhasrat memperjuangkan pembinaan sebuah hospital di Semenyih jika dipilih menjadi Ahli Dewan Negeri (ADN).

Beliau berkata, ia membuktikan komitmen Muhammad Aiman Zainali, 30, dalam memperjuangkan nasib penduduk khususnya di kawasan terbabit.

“Kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad perlu dilihat daripada sudut positif kerana beliau merujuk kepada tiada keperluan membina Hospital Semenyih buat masa ini.

“Mungkin perancangan membina hospital akan dibuat pada masa hadapan atau mungkin dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kelapan.

“Kenyataan beliau (Dr Dzulkefly) bukan bermaksud sabotaj,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda Harapan Malaysia, di Bilik Gerakan Utama, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Muhammad Aiman menyuarakan hasrat untuk memperjuangkan Hospital Semenyih bagi memudahkan penduduk yang terpaksa berulang alik ke Hospital Kajang.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata, rancangan untuk membina hospital di kawasan itu dianggap tidak munasabah selain menyifatkan tiada keperluan membina hospital berkenaan buat masa ini.

Pada masa sama, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, perancangan Muhammad Aiman itu menunjukkan beliau adalah seorang yang mementingkan rakyat malahan kenyataan dikeluarkan juga mempunyai hujah yang baik.

Mengulas berhubung Muhammad Aiman yang dianggap kurang lantang semasa berkempen mahupun ketika menjawab soalan wartawan, Syed Saddiq berkata, perkara itu tidak seharusnya dipandang sebagai isu serius, sebaliknya pihaknya tiada masalah jika calon PAKATAN kurang bercakap.

“Kalau kita lihat dari dulu lagi, dia jenis orang yang kurang bercakap tetapi lebih berkhidmat. Paling mustahak, dia cakap apa yang dia nak bawa kalau menang dan diberi mandat.

“Ini juga membuktikan cara baharu politik iaitu politik khidmat yang dibawa PAKATAN,” katanya.

 


Pengarang :