NASIONAL

Penduduk perlu kelulusan PBT laksana pertanian bandar

MELAKA, 25 FEB: Penduduk di kawasan perumahan dibenarkan melaksanakan pertanian bandar di tanah lapang di sekitar mereka namun perlu mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan Local Agenda 21 untuk menggalakkan pelaksanaan pertanian bandar di semua peringkat khususnya di kawasan taman perumahan.

Katanya, kelulusan daripada PBT perlu bagi mengelak sebarang masalah berbangkit termasuk penggunaan tanah secara haram.

“Kami di peringkat KPKT tidak mempunyai sebarang masalah terhadap saranan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang menggalakkan program pertanian bandar terutama bagi penduduk di kawasan perumahan memanfaatkan tanah di luar kawasan rumah mereka.

“Tanah terbiar di kawasan perumahan seperti di hujung taman boleh dimanfaatkan dengan pertanian bandar daripada ia terbiar menjadi semak-samun dan ia boleh diusahakan secara individu atau berkelompok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kad Pintar Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di sini, hari ini.

Zuraida berkata, demikian ketika diminta mengulas saranan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub agar PBT di negara ini melaksanakan program pertanian bandar terutama bagi penduduk di taman perumahan yang mempunyai kawasan terhad untuk bercucuk tanam.

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Melaka, Datuk Tey Kok Kiew dan Yang Dipertua MPHTJ, Mahani Masban.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, kelulusan terbabit bagaimanapun tidak perlu dimohon sekiranya penduduk melaksanakan aktiviti pertanian bandar dalam kawasan rumah mereka.

Sementara itu, beliau berkata, KPKT menggalakkan semua PBT di negara ini terutama yang mempunyai banyak kawasan luar bandar menggunakan mekanisme kad pintar bagi memudahkan urusan rakyat dengan PBT terbabit.

“Kad pintar ini mempunyai banyak kelebihan kerana ia bukan sahaja memudahkan urusan, malah menjimatkan masa dan kos rakyat yang ingin berurusan dengan PBT kerana mereka tidak perlu hadir ke pejabat PBT untuk membuat bayaran atau semakan bil dan cukai,” katanya.

Kad Pintar MPHTJ adalah satu kaedah alternatif pembayar mendapatkan bil atau membuat semakan secara elektronik pada bila-bila masa dan MPHTJ adalah PBT pertama di negara ini menggunakan mekanisme itu.

Inisiatif itu juga bertujuan menangani masalah penyampaian bil lewat atau tidak diterima pelanggan dan sistem yang diguna pakai dikemas kini secara masa nyata.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :