NASIONAL

Penerima e-mel, surat PKPS diminta hubungi LHDN

PUTRAJAYA, 1 FEB: Pembayar cukai yang menerima surat atau e-mel Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dinasihati untuk tidak berasa bimbang, sebaliknya menghubungi LHDN bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah berkata, program terbabit menawarkan kadar penalti serendah 10 peratus dan 15 peratus ke atas amaun cukai tambahan perlu dibayar yang merangkumi beberapa kategori pembayar cukai.

Kategori terbabit adalah pembayar cukai berdaftar yang gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP)/Borang Nyata Petroleum (BNP)/Borang Nyata Cukai Keuntungan Harta Tanah (BNCKHT) secara teratur.

Tawaran itu turut diberi kepada pembayar cukai yang sudah mengemukakan BNCP/BNP/BNCKHT namun tidak membuat pengisytiharan cukai yang betul seperti terdapat keraguan amaun pendapatan/ keuntungan pelupusan harta tanah (terkurang lapor pendapatan) atau keraguan amaun perbelanjaan dan pelepasan cukai yang dituntut (terlebih tuntut) dan pembayar duti yang gagal membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan.

“Kira-kira 8.3 juta surat dan e-mel yang dikeluarkan LHDN kepada pembayar cukai berdaftar adalah makluman berkenaan PKPS yang mula dilaksanakan pada 3 November tahun lalu dan akan berakhir pada 30 Jun ini seperti telah diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2019,” katanya, lapor BERNAMA.

Bagaimanapun, Sabin berkata, pembayar cukai yang telah melaporkan pendapatan, perbelanjaan dan pelepasan cukai sepatutnya kepada LHDN serta telah membuat penyeteman surat cara dalam tempoh ditetapkan, boleh mengabaikan surat atau e-mel pemakluman berkenaan.

Beliau berkata, pengakuan secara sukarela yang dibuat dalam tempoh program terbabit juga akan diterima secara suci hati tanpa pertanyaan lanjut daripada LHDN.

Pada masa sama, LHDN turut menasihatkan pembayar cukai agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan program berkenaan.

“Pembayar cukai boleh mendapatkan pengesahan dan maklumat lanjut mengenai program ini dengan mengunjungi Pejabat LHDN berhampiran, menghubungi Hasil Care Line LHDN di talian 1-800-88-5436 atau 603-7713 6666 (Luar Negara); atau menghantar e-mel pertanyaan kepada: [email protected],” katanya.

Selain Malaysia, program itu telah dilaksanakan oleh lebih 20 negara termasuk Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Jerman, Afrika Selatan dan Indonesia bagi memberi peluang rakyat tampil membuat pengakuan sukarela.

Sabin berkata, ini juga selaras inisiatif Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam melaksanakan pertukaran maklumat di bawah Country-by-Country Reporting (Pelaporan Mengikut Setiap Negara) yang bermula di Malaysia pada September tahun lalu.

 


Pengarang :