NASIONAL

Penganggur didakwa bunuh Siti Masitah

ROMPIN, 22 FEB: Seorang penganggur warga Kemboja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh Siti Masitah Ibrahim yang mayatnya ditemui di padang ragut dalam kejadian di Pekan, dua minggu lalu.

Mohd Amirul Abdullah, 23, yang beralamat di Kampung Parit Tengah, Pekan dekat sini, sekadar mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Lelaki yang bertubuh kecil itu didakwa membunuh Siti Masitah, 11, yang juga warganegara Kemboja antara jam 5.50 petang hingga 8 malam, 30 Januari lalu di kawasan belukar padang ragut, Kampung Tanjung Medang Hilir di Pekan, dekat sini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Azizah menetapkan 25 Mac ini bagi serahan dokumen forensik, laporan kimia dan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syamsul Kahar Ahmad Nadri manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan.

Pada 9 Februari lalu, media melaporkan penemuan mayat Siti Masitah dalam keadaan menyayat hati dan tidak sempurna. Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh lebih seminggu sebelum mayatnya ditemukan.

Keluarga mangsa membuat laporan kehilangan kanak-kanak itu pada petang 30 Januari lalu setelah dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar ke kedai.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :