NASIONAL

Pengenalan kurikulum baharu keselamatan jalan raya tepat

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Langkah kerajaan memperkenalkan kurikulum baharu pendidikan berkaitan keselamatan jalan raya adalah keputusan tepat dalam usaha membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, nilai murni seperti menghormati undang-undang, memandu secara berhemah dan menghormati pengguna jalan raya yang lain perlu disemai di peringkat sekolah.

Beliau percaya sekiranya kanak-kanak dididik sejak kecil untuk berpegang pada nilai murni, mereka tidak akan tergamak melanggar undang-undang termasuk memandu atau menunggang secara melulu.

“Langkah Kementerian Pengangkutan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan kurikulum terbabit sebagai sebahagian sukatan pelajaran amat dialu-alukan dan perlu disokong semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kurikulum baharu pendidikan yang bakal menjadikan aspek keselamatan jalan raya sebagai sebahagian sukatan pelajaran, akan dilancarkan Februari ini bertujuan memupuk pemikiran rakyat membudayakan keselamatan jalan raya bermula di bangku sekolah.

Mengulas lanjut, Lee berkata, usaha memupuk kesedaran keselamatan jalan raya amat penting kerana kes kemalangan jalan raya masih menunjukkan peningkatan bagi tempoh sembilan tahun daripada 370,000 kes pada 2008 kepada 530,000 kes pada 2017.

“Terdapat juga kes pemandu memandu di bawah pengaruh dadah yang adalah antara faktor utama kemalangan maut,” katanya.

Beliau berkata, terdapat penurunan sebanyak 456 kes kematian pada tahun lalu berbanding 6,740 kematian bagi tahun sebelumnya.


Pengarang :