SELANGOR

Pengguna media sosial perlu lebih bertanggungjawab kongsi info

KAJANG, 16 FEB: Pengguna media sosial disaran lebih bertanggungjawab khususnya dalam berkongsi info di akaun mereka sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, pengguna media sosial juga perlu memastikan maklumat yang ingin dikongsi adalah maklumat sah dan tidak tergesa-gesa berkongsi maklumat tanpa menyelidikinya terlebih dahulu.

“Maklumat tidak tepat boleh membawa kepada keadaan yang memudaratkan, kita tak mahu mana-mana calon menerima kesan fitnah media sosial, kita perlu berhati-hati,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang.

Terdahulu, pada proses penamaan calon, Muhammad Aiman bakal bertemu empat penjuru dengan calon Barisan Nasional (BN) yang mempertaruhkan pemimpin tempatan, Pengerusi Tetap UMNO cawangan Kampung Sesapan Kelubi, Zakaria Hanafi, 58.

Selain itu, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, mewakili calon dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia, Kuan Chee Heng, juga dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ bertanding atas tiket Bebas.

Pengundian awal PRK DUN Semenyih ditetapkan 26 Feb manakala pengundian 2 Mac.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PAKATAN, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang akibat serangan jantung, pada 11 Januari lalu.

-BERNAMA

 


Pengarang :