Sel kanser
NASIONAL

Penghidap kanser dinasihat tidak percaya rawatan tanpa bukti keberkesanan

IPOH, 17 FEB: Individu yang dikesan menghidap kanser dinasihat tidak percaya kepada terapi atau rawatan yang tiada bukti keberkesanan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sebaliknya individu terbabit perlu mendapatkan pemeriksaan untuk mengetahui tanda-tanda awal penyakit kanser kerana kebanyakan penyakit itu boleh diubati di peringkat awal.

“Kita perlu bersama-sama memerangi mitos, informasi yang tidak benar dan salah faham yang menyebabkan rakyat Malaysia enggan menjalani saringan, enggan atau melambat-lambatkan rawatan awal,” katanya lapor BERNAMA.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kledang Hill Challange bersempena sambutan Hari Kanser Sedunia peringkat negeri, hari ini.

Program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Anggota Kesihatan Kinta dan Pejabat Kesihatan Daerah Kinta Batu Gajah itu bertujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan aktif melalui bersukan.

Boon Chye yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata, kesedaran rakyat Malaysia mengenai penyakit kanser masih ditahap rendah berbanding negara maju lain,

Katanya, kebanyakan pesakit di negara ini hanya menyedarinya apabila ia sudah di peringkat terakhir.

“Kementerian Kesihatan menyediakan kemudahan saringan kanser secara percuma seperti mamogram dan pap smear di hampir kesemua klinik kesihatan untuk mengesan kanser di peringkat awal,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :