SELANGOR

Peniaga biar sisa dan darah ayam atas lantai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SELAYANG, 8 FEB: Memualkan, itulah yang dapat digambarkan apabila segelintir peniaga di Pasar Borong Selayang membiarkan sisa dan darah ayam di atas lantai.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohamad Zin Masoad berkata, lebih memburukkan keadaan apabila peniaga turut membiarkan darah ayam berkenaan masuk ke longkang awam.

“Disebabkan itu peniaga dikenakan tindakan kompaun di bawah Undang-Undang Kecil 21(1)d.

“Peniaga turut dikenakan kompaun di bawah Seksyen 74 kerana membiarkan bahagian dalam belakang premis iaitu tempat penyimpanan ayam segar berada dalam keadaan kotor, sementara kompaun mengikut Seksyen 6 kerana tidak mempunyai tong sampah yang tertutup,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Operasi Bersepadu Tempat Penyembelihan Ayam Tanpa Permit di sempadan Pasar Borong Selayang, semalam.

Operasi itu turut melibatkan seramai 10 orang penguatkuasa MPS yang diketuai Pembantu Penguatkuasa Kanan, Mohd Zahari Mohd Ali dengan kerjasama anggota Jabatan Imigresen dan anggota Polis Diraja Malaysia.

Mohamad Zin berkata, pada masa sama, operasi bersepadu itu juga berjaya menahan seorang pendatang tanpa izin kerana tidak mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

“MPS akan terus memastikan peniaga menjaga kebersihan bagi menjamin jualan dalam keadaan baik bagi mengelakkan timbulnya masalah kesihatan,” katanya.


Pengarang :