NASIONAL

Penjara ada SOP ketat kawal kemasukan bahan terlarang

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Semua penjara di negara ini mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ketat dalam mengawal pergerakan keluar masuk pegawai serta pelawat bagi memastikan tiada bahan terlarang diseludup masuk ke kawasan penjara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, peraturan itu perlu dipatuhi semua pegawai dan petugas, sebelum dibenarkan masuk ke penjara.

Katanya, banduan baharu turut melalui prosedur pemeriksaan badan yang ketat sebelum dimasukkan ke sel penjara masing-masing.

“Pihak penjara dan polis sentiasa memberi perhatian serius berhubung perkara itu, manakala kementerian akan meneliti prosedur serta peraturan sedia ada serta perlu, ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Hari Terbuka Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Klinik Cure & Care di sini, hari ini.

Kenyataan itu susulan insiden kewujudan sindiket yang membekalkan dadah kepada tahanan di penjara Simpang Renggam, Johor, baru-baru ini.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis menahan lima lelaki yang disyaki anggota sindiket mengedar dadah kepada banduan di Penjara Simpang Renggam, Johor, sejak setahun lalu.

Katanya, polis percaya sindiket berkenaan menggunakan ‘orang dalam’ untuk melakukan penyeludupan dadah kepada banduan di penjara itu.

*Sumber: BERNAMA

 


Pengarang :