BERITA UTAMASELANGOR

Penubuhan PEMADAM di IPTS kekang masalah dadah belia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 9 FEB: Penubuhan Kelab Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) antara langkah pendidikan bagi mengekang penularan dadah dalam kalangan belia, khasnya di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perkara itu memandangkan kes penyalahgunaan dadah membabitkan anak muda berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun berada pada tahap membimbangkan.

“Penuntut di universiti perlu memainkan peranan mereka terutama bagi menyedarkan belia di luar sana supaya tidak terbabit dengan aktiviti penyalahgunaan dadah yang boleh memberi kesan negatif.

“Pembabitan PEMADAM dengan komuniti adalah memberi latihan dan pengetahuan kepada mahasiswa atau mahasiswi bagaimana bentuk dadah serta program tertentu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membanteras kegiatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kelab Antidadah Peringkat IPTS Selangor di Dewan Gemilang Universiti Kuala Lumpur (UNIKL) British Malaysian Institute (BMI) di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah AADK, Dato’ Sri Zulkifli Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif UNIKL, Prof Dato’ Dr Mazliham Muhd Su’ud dan Dekan UNIKL GMI, Prof Madya Dr Kushsairy Abdul Kadir.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Pengerusi PEMADAM Selangor berkata, pelaksanaan gerak kerja dan program akan diatur secara bulanan bagi memastikan Kelab PEMADAM di institusi berkenaan terus berkembang aktif.

Katanya, setiap aktiviti akan dibuat dalam bentuk berbeza bagi memberi peluang kepada mahasiswa mempelbagaikan dimensi dan cara anti penyalahgunaan dadah.

“Asas program pencegahan, keagamaan atau program bersama komuniti diberi kepada mereka termasuk menyampaikan mesej berkaitan anti penyalahgunaan dadah.

“Kita tidak melaksanakan program berbentuk ceramah sepenuhnya tetapi juga mengadakan konsert bagi memastikan penyampaian dan capaian itu lebih meluas

“Ini adalah kaedah yang digunakan sebab kita tidak mahu menggunakan kaedah berceramah sahaja sebab kemungkinan ia jadi bosan,” katanya.


Pengarang :